Penulis baharu gopoh membina 'rumah' sastera
Play all audios:

SAYA mengenali sastera apabila menggeledah rak buku ayah saya ketika berada di Tahun Empat dan menemui Hikayat Panji Semerang, sekali gus mula menjadi 'peminum kopi' di kafe
sastera yang gemar saya hirup pada setiap tengah malam tetapi sentiasa ghairah merasai kelainan aroma yang lain. Walau betapa enak hidangan baharu, ia perlu bermula daripada asas pembancuhan
kopi, iaitu espresso yang kelat. Sebab itu menjadi pencandu kopi di kafe sastera sekian lama, satu-satunya cara untuk kembali kepada kepengarangan adalah kembali menelaah semula sastera
tradisi. Saya teringat kepada saranan Sasterawan Negara (SN) bahawa Sulatus Salatin karya Tun Sri Lanang perlu disudahkan pembacaannya setahun sekali. Saya memikirkan sastera tradisi
mendorong kita untuk melihat dari sudut pandang akar budaya, manakala ketulenan bahasanya memandu kita di atas landasan sastera sebelum bergerak jauh. Tidak kisahlah untuk melakukan revolusi
ke atas karya melalui perubahan bentuk, manipulasi cereka, penggubahan semula struktur atau penyuntikan unsur pengaruh interteks tetapi tanpa kembali kepada sastera tradisi, ia tidak dapat
berdiri kerana tiada sandaran kukuh. Sebab itu ganjil sekali kita melihat penulis ghairah menulis karya sastera sedangkan kesusasteraan tradisi belum habis dibaca sekurang-kurangnya karangan
masyhur seperti Hikayat Hang Tuah, Sulatus Salatin, Hikayat Abdullah Munshi, Tuhfat An-Nafis dan Hikayat Raja-Raja Pasai atau membaca puisi tradisional. Cetek sekali jika kesemuanya
diremehkan, sedangkan ia melahirkan penulis lebih matang dan menghargai seni serta budaya. Saya tidak mengatakan penulis perlu berhenti menulis dan menghabiskan hikayat terlebih dulu sebelum
menulis. Saya lebih mempersoalkan proses kepengarangan yang perlu melalui peringkat pembacaan untuk membina kematangan dan melihatkan makna kesusasteraan dalam konteks lebih luas. Kembali
kepada tradisi bermaksud kita mengenal semula sastera tradisional yang terikat dengan kaedah dan pendisiplinan dalam proses penghasilannya dengan kesantunan berbahasa dengan kesopanan budaya
serta rumus kias yang tidak dibiarkan kosong makna. Mengambil pantun sebagai contoh, puisi dibina dengan rangkap pembayang dan maksud tetapi ia tidak semudah untuk mengungkapkan, 'Pen
biru pen merah; sudah baca harap balas.' Pantun terikat dengan pembayang yang dilatari objek dan gambaran alam yang bukan sekadar penyedap rasa atau diikat dengan sanjak sebagai
bentuknya. Ini kerana pantun diisi dengan perlambangan dan pemaknaan yang tinggi pada rangkap sampiran untuk mewakili bayangan maksud kepada rangkap isi. Tanpa sedar, pengaruh puisi
tradisional itulah yang membawa evolusi kepada dunia puisi tanah air menuju kepada bentuk semakin bebas. Perkembangan itu dikatakan bermula daripada Harun Aminurrashid yang menampakkan tanda
awal perubahan genre puisi Melayu sekitar 1933. Malah lebih awal, puisi Angan-Angan Dengan Gurindam (Omar Mustaffa) dikatakan puisi moden pertama dalam sejarah kesusasteraan Tanah Melayu
dengan garapan yang menampakkan tanda penyimpangan daripada puisi tradisional. Proses perkembangan itu wajar difahami agar proses kepengarangan datang atas kesedaran nilai yang dibawa ke
dalam pengkaryaan supaya ketulenannya terjaga. Saya sedar ketegangan sentiasa berlaku seperti diakui A Teeuw dalam bukunya, Membaca Dan Menilai Sastera, bahawa "Sastera, sebagai sebuah
bentuk seni, selalu berada dalam ketegangan antara konvensi dan pembaharuan, antara keterikatan dan kebebasan mencipta." Jika diperhatikan, ketegangan itulah yang membawa pembaharuan
dalam evolusi karya sastera dan ditambah dengan pengaruh luar seperti sastera Barat. Ia memberi kekuatan dalaman kepada karya sastera sebagai kesenian kata yang terhimpun dalam bentuk puisi,
cerpen, novel mahupun drama. Sebab itu penting untuk kembali menelaah sastera tradisi, iaitu nilai asal dan memperbaikinya untuk membawa kepada perjalanan tersendiri dan tidak perlu untuk
dikalutkan dengan karya siapa yang lebih sastera atau lebih kuat magisnya. Kedewasaan terhadap kefahaman sastera yang berakar kepada tradisi memungkinkan kita mengorak langkah dengan lebih
jauh tanpa terbabas daripada landasan yang cuba kita bawa ke tengah-tengah masyarakat. Permulaan penulis untuk melalui fasa lebih serius perlu dimulakan dengan berdialog terhadap karya
tradisi. Mungkin ramai yang sekadar membaca karya sastera tradisi sebagai teks yang terisi pelbagai wacana tersurat dan tersirat yang dapat dibincang serta dibahas. Teks tradisi secara
berlebihan lebih banyak diangkat oleh sarjana sastera ke tengah warung akademik sehingga teks itu 'mati' sebagai rujukan akademik. Berapa ramai orang yang membaca Hikayat Hang Tuah
akhirnya akan lebih bernafsu untuk membincangkan sama ada Hang Tuah atau Hang Jebat yang lebih bersalah? Atau berapa ramai orang yang menjadikannya sebagai teks kajian untuk membuktikan
Hang Tuah wujud atau tidak? Karya tradisi mati dalam generasi penulis yang baru memegang mata pena kerana melihatnya terlalu berat untuk dikunyah ekoran nilai intelektual dianggap terlalu
tinggi. Mereka tidak melihatnya sebagai novel yang berjalan sebagai naratif seperti menelan novel SN Datuk A Samad Said dan Prof Emeritus Datuk Shahnon Ahmad yang tidak mungkin dibaca makna
selapis atau menempuh cabaran imaginasi dalam memahami puisi Zaen Kasturi serta Kemala. Akhirnya generasi penulis baharu tidak berupaya mengunyah langgam bahasa klasik apatah lagi tulisan
jawi, sebaliknya mereka membiarkannya saja. Apatah lagi senarai buku yang dideretkan kepada mereka untuk dibaca jarang sekali menitikberatkan karya tradisi sebagai bacaan wajib. Ia ibarat
membina rumah yang memerlukan tapak rata sebagai landasan kukuh. Tentunya ia bermasalah jika tanah itu sendiri tidak kemas malah tergopoh-gapah terus menaikkan dinding sedangkan keteguhan
tiangnya masih dipersoalkan. Risiko paling besar pada proses itu ialah dinding tidak sekadar retak, bahkan rumahnya sekali roboh. Sebab itu kekuatan karya sasterawan veteran yang lahir
daripada rahim karya sastera tradisi ini, sukar dipertikai dan digugah sehingga tidak hairanlah masih disebut dan dibaca sampai hari ini meskipun sudah tiada. Sebut saja nama Pak Sako, Tan
Sri A Samad Ismail dan Keris Mas, mereka gergasi besar dalam kesusasteraan tempatan yang jarang dipertikai kepengarangannya. Sebenarnya adalah amat ganjil untuk tidak membaca karya sastera
tradisi sebelum memasuki rumah sastera kontemporari. Ia seumpama tidak mahu membaca William Shakespeare, Ben Jonson, John Donne, Friedrich Schiller, dan Goethe ketika hendak mula merasai
kopi daripada kafe sastera Barat. Kematian budaya membaca sastera tradisi sebenarnya petanda kepada keruntuhan sastera itu sendiri apabila karya sastera tradisi diarkibkan dan hanya sekadar
dijadikan rujukan untuk keperluan akademik semata-mata. Jika tidak mahu sastera itu mati, harus kembali membaca sastera tradisi. Atau dalam lingo peminum kopi, jika hendak mengenal apa itu
kopi, harus bermula daripada espresso dulu. PROFIL PENULIS IALAH PENGARANG MUDA KELAHIRAN TERENGGANU YANG PERNAH MEMENANGI HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPM) DAN HADIAH SASTERA DARUL
IMAN (HSDI) DALAM KATEGORI ECERAN.