Didie ditawar watak 'makcik ekstra'?
Play all audios:

KUALA LUMPUR: Di sebalik sikap suka berjenaka dan bergurau senda, namun pelakon komedi, Didie Alias tidak akan main-main membabitkan hak dan kebajikannya sebagai anak seni. Buktinya, Didie
pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap satu syarikat produksi yang menggugurkan namanya pada saat akhir atas alasan tidak munasabah. Didie atau nama sebenarnya, Fadzilah Mohd @ Ali
berkata, sikap tidak profesional seperti itu tidak sepatutnya wujud kerana ia memang menganiayai pelakon. "Sangkaan saya, syarikat produksi akan mengambil iktibar apabila saya
meluahkan rasa tidak puas hati secara umum. Namun, sebaliknya berlaku. Tekaan saya meleset apabila ada perkara lain yang membuatkan saya jadi lebih sakit hati. "Saya melihat masalah
bayaran 'ciput' masih menjadi amalan segelintir syarikat produksi yang tidak tahu menilai bakat seseorang anak seni. "Bayangkan, saya pernah ditawarkan dengan bayaran RM15
jika dikira secara purata mengikut jumlah babak yang perlu dilakonkan. Syarikat produksi bijak. Untuk mengelakkan membayar pelakon mengikut episod, mereka menukarnya mengikut jumlah hari.
"Katakanlah jika perlu bayar satu episod RM1,000, kalau 30 episod jumlahnya tentu RM30,000. Justeru, mereka lebih suka bayar mengikut hari. Saya pernah menjadi Pengurus Produksi (PM)
suatu ketika dahulu, jadi saya faham rentak permainan mereka. Cukup-cukuplah menganiaya artis, lagipun saya bukan pelakon baru yang boleh diperkotak-katikkan," luahnya kepada BH Online.
Pelakon yang mula dikenali menerusi filem Boss itu berkata, bukan sahaja berdepan dengan masalah bayaran, malah melalui pengalaman sikap syarikat produksi yang main tangkap muat dalam
memilih pelakon. "Saya pernah dihubungi syarikat produksi menawarkan watak pelakon tambahan. Saya tidak faham apa yang bermain di fikiran hingga tergamak menawarkan saya watak
'makcik ekstra'. Saya bukan nak kata diri hebat, tetapi saya sudah buktikan dalam drama lakonan sebelum ini. "Saya tidak pernah berkira soal bayaran, tetapi apa yang saya
minta adalah setimpal dengan hasil yang diberikan. Bukan sahaja dari segi lakonan, aspek lain lain termasuklah pakaian. Semuanya saya siapkan sendiri sebelum masuk set penggambaran.
"Saya boleh bertolak ansur. Contohnya, saya terbabit dalam drama bersiri ketika ini. Secara kebetulan, sekarang musim hujan dan banyak babak tertangguh. Saya faham dan tidak langsung
meminta bayaran tambahan kerana terpaksa menunda penggambaran yang sepatutnya boleh disiapkan lebih awal," kata wanita berusia 48 tahun itu ketika ditemui pada majlis pelancaran Elysyle
CM Secret Perfect Look dan sesi menandatangani kerjasama antara Eylsyle Elken Global & Chacha Maembong, baru-baru ini. Selain berlakon dan mengacara, Didie berkata, dia juga aktif dalam
menganjurkan karnival saban tahun, terutama menjelang musim perayaan. Bagaimanapun, katanya, karnival tidak dapat dilaksanakan berikutan pandemik COVID1-19 yang belum berakhir. Situasi itu
menyebabkan penyandang trofi Artis Komedi Popular Anugerah Bintang Popular Bh (ABPBH) 2014 itu mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit. "Sepatutnya, saya ada karnival
besar-besar sebelum sambutan Aidilfitri lalu, namun terpaksa dibatalkan. Biasanya, karnival seperti ini membabitkan puluhan ribu pengunjung, sedangkan prosedur operasi standard (SOP) yang
dibenarkan hanya membabitkan sekitar 250 orang sahaja. "Hampir RM500,000 juga kerugian yang terpaksa ditanggung termasuk kos promosi dan sebagainya. Mujur, ada sesetengah bayaran
pendahuluan boleh digunakan untuk penganjuran masa hadapan. Kita tunggulah sahaja perkembangannya hingga hujung tahun apabila Perintah Pergerakan Kawalan Pemulihan (PKPP) tamat,"
ujarnya.