Kepala air punca 8 sahabat dibawa arus deras

Kepala air punca 8 sahabat dibawa arus deras

Play all audios:


HULU SELANGOR: Fenomena kepala air menjadi punca lapan kanak-kanak dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor di Kampung Timah, Bukit Beruntung di sini, semalam. Tragedi menyayat hati


itu menyebabkan lima lemas manakala dua masih hilang. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan R Supramaniam, berkata hujan lebat kira-kira dua jam di sekitar kawasan berkenaan


menyebabkan fenomena itu terbentuk apabila arus deras luar biasa mengalir dari hulu sungai. "Pemeriksaan mendapati arus deras setinggi kira-kira lima meter melanda kawasan anak sungai


tempat lapan kanak-kanak itu menangguk ikan. "Pada hari biasa, kawasan anak sungai tempat mereka menangguk ikan itu memang cetek, namun semalam kepala air menyebabkan paras air naik


mendadak dan deras," katanya dalam sidang media di sini, hari ini. Katanya, kepala air yang berlaku dengan cepat menyebabkan semua mangsa tidak sempat menyelamatkan diri sebelum


dihanyutkan. Bagaimanapun, seorang mangsa, Muhammad Shahir Azman, 12, selamat apabila sempat berpaut pada batang paip di anak sungai itu. Supramaniam berkata, usaha mencari dua lagi mangsa


hilang giat dijalankan selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan semula jam 8 pagi tadi. Mangsa yang masih hilang adalah Mohd Ikhwan Mohd Ridhuan, 10, dan Muhammad Aiman Kamarul


Ariffin, 12. Sementara itu, lima mangsa yang meninggal dunia selesai dibedah siasat di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) dan punca kematian disahkan sebagai lemas. Semua jenazah sudah


dituntut keluarga masing-masing untuk dikebumikan yang mana pasangan adik beradik Shahrizwan Abdullah, 10, dan Shahrizat, 12, serta seorang lagi mangsa, Amirul Hakimi Khairul Amru, 9,


dikebumikan di Bukit Beruntung. Dua lagi mangsa iaitu Mohd Aiman Fitri Md Asmadi, 12, akan dikebumikan di Kuala Selangor, manakala Mohd Iskandar Shah Abdullah, 12, dikebumikan di Kuala Krai,


Kelantan. Supramaniam berkata, Muhammad Shahir yang terselamat dibawa pulang oleh keluarga ke kampung ibunya di Ipoh, Perak untuk rawatan kerana masih trauma akibat kejadian itu.