9 syarikat produksi masih gagal dikesan

9 syarikat produksi masih gagal dikesan

Play all audios:


KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mendedahkan sembilan daripada 44 syarikat produksi yang didakwa menyeleweng Dana Kandungan Digital (DKD) masih belum dapat


dikesan untuk membincangkan isu berkenaan sebelum penghujung bulan ini. Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid berkata, sebanyak 35 syarikat produksi sudah menghubungi FINAS bagi berbincang


masalah selepas didakwa gagal menyiapkan filem melalui dana diberikan sejak 2015 hingga 2019. Katanya, tujuan FINAS menghebahkan isu penyelewengan dana menerusi media massa bukan untuk


mengambil tindakan kerana dana yang disalurkan kerajaan itu bagi membantu perfileman negara. "Hanya ada sembilan syarikat produksi membabitkan dana RM11 juta yang kebanyakannya drama


dan dokumentari masih belum dapat dikesan untuk perbincangan lanjut. "FINAS memberikan tempoh sehingga hujung bulan ini untuk produser datang dan berbincang secara baik, sebelum kes


diserahkan kepada peguam. "Jika sudah sampai kepada pihak guaman, ia akan memberi kesan buruk kepada nama produser dan produksi hingga tidak boleh memohon dana," katanya kepada BH


Online. Zakaria ditemui ketika mengunjungi pelakon, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman menerusi program Ziarah FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Kampung Demit, Kubang Kerian,


Kelantan, petang semalam. Dalam masa sama, Bob turut dikunjungi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob. Beliau berkata, FINAS sedia berbincang dan menambah dana sekiranya ada projek filem


terbengkalai dan masih boleh diteruskan bagi memastikan karya berkenaan boleh dimanfaatkan serta ditayangkan. "Sekiranya tidak boleh, FINAS akan mencari jalan lain untuk


menyelesaikannya kerana mengambil kira berapa banyak sudah dibelanjakan atau pulangkan semula kepada FINAS. "Kami boleh menggunakan dana ini untuk mengeluarkan filem baharu. Separuh


daripada produser memberitahu penggambaran sudah siap, cuma peringkat pos-produksi terbengkalai kerana tidak mempunyai dana mencukupi. "FINAS mempunyai dana untuk pemasaran. Paling


penting, FINAS mahu melihat kualiti cerita. Jika bagus, kita boleh memberi tambahan dana untuk disiapkan daripada dibiarkan terbengkalai," katanya.