Warga myanmar bunuh rakan senegara dihukum gantung
Play all audios:

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang lelaki warga Myanmar selepas didapati bersalah membunuh rakan senegaranya, tiga tahun
lalu. Hakim Datuk Dr Sabirin Ja'afar menjatuhkan hukuman itu terhadap Sein Htay, 45, selepas puas hati pihak pendakwaan mempunyai bukti kukuh untuk mensabitkan kesalahan terhadap
tertuduh, manakala pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Tertuduh yang kelihatan tenang hanya tunduk sebaik keputusan itu dibacakan sambil diterjemahkan oleh
jurubahasa mahkamah dalam bahasa Myanmar. Htay didakwa membunuh Pyae Phyo Aung, pada 1 April 2013, jam 6.30 petang di No 12, Jalan Belati 2, Taman Perindustrian Maju Jaya, Kempas di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla
Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam HK Yoong.