Rakyat india berang, bank bergelut edar wang
Play all audios:

NEW DELHI: Rakyat India semakin berang apabila bank bergelut mengedarkan wang tunai berikutan keputusan kerajaan memansuhkan wang kertas bernilai besar dalam usaha mencari berbilion dolar
dalam kekayaan yang tidak diisytiharkan. Kemarahan tercetus ketika ratusan ribu penduduk berbaris selama beberapa jam di luar bank untuk hari ketiga bagi menukar wang kertas 500 dan 1,000
rupee selepas ia dimansuhkan awal minggu ini. Nilai wang kertas yang dimansuhkan itu merangkumi 80 peratus mata wang dalam edaran, menyebabkan jutaan penduduk ketiadaan wang tunai dan
mengancam ekonomi negara itu. "Kekecohan berlaku merata-rata," kata Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal, pencabar kepada Perdana Menteri, Narendra Modi, menuduh beliau menekan
penduduk miskin dan kumpulan pekerja sedangkan rakyat yang kaya menemui jalan melepasi peraturan baharu itu. Pelanggan bertengkar dan mengetuk pintu kaca di cawangan bank Standard Chartered
di selatan ibu negara India itu selepas pengawal keselamatan menghalang pintu masuk terlalu ramai orang di dalam. Sementara yang lain menyalahkan Modi dan mengkritik lawatannya ke Jepun
ketika rakyat biasa menderita di negara itu. "Beliau menaiki kereta api laju di Jepun dan di sini ada orang tua mengetuk pintu bank kerana mahukan wang tunai. "Beliau melakukan
kesilapan besar," kata pelajar kolej, Prabhat Kumar, yang beratur selama enam jam. Hampir separuh daripada lebih dua juta mesin pengeluaran automatik ditutup pada Jumaat dan yang dibuka
kehabisan wang dengan cepat. - Agensi